Tunaikan Nazar, Rozita Che Wan Terpaksa Tinggalkan Anak



Pelakon Rozita Che Wan (Che Ta) akui terpaksa tinggalkan anak perempuan kesayangannya Aaisyah Dhia Rana yang baru berusia tiga bulan untuk menunaikan nazar.

Menurut Che Ta, sebelum ini dia pernah bernazar untuk mengerjakan umrah sekiranya hamil lagi selepas berkahwin.

“Memang agak sukar nak tinggalkan Aaisyah lebih-lebih lagi dengan usianya yang baru tiga bulan.

“Tapi saya terpaksa juga tinggalkan dia kerana perlu menunaikan nazar iatu sekiranya hamil lagi selepas berkahwin, saya akan buat umrah bersama suami.

“Alhamdulillah doa kami diperkenankan Allah dan ini adalah kali pertama saya buat umrah bersama Zain,” katanya seperti yang dilapor Harian Metro pada Jumaat.

Aktres cantik ini juga memberitahu agak sukar baginya untuk berenggang dengan Aaisyah kerana masih kecil.

“Sebelum ini pun saya tolak tawaran berlakon kerana terasa susah nak tinggalkan anak yang masih kecil

“Malah jika saya ada kerja luar pun saya akan cuba sedaya upaya untuk bawa Aaisyah jika berpeluang.

“Kadang-kadang saya keluar rumah dan tinggalkan dia sekejap pun pasti saya akan hubungi keluarga untuk tahu perkembangan Aaisyah,” ujarnya.

Tambah Che Ta lagi, Aaisyah akan dijaga oleh keluarganya sepanjang dua minggu ketiadaan mereka.

"Sebenarnya emak saya suruh bawa Aaisyah sekali kerana dia bukanlah bayi yang banyak ragam.

“Cuma berdasarkan cerita rakan saya, di sana banyak habuk jadi saya putuskan untuk tinggalkan dia dengan keluarga.” tambahnya.

Pasangan ini akan mengerjakan umrah pada 20 Februari depan.

Sumber: Harian Metro
Back To Top